Pages

Darwin Dalam Sistem Pendidikan Kita ? ? ?

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya tidak berbicara hari ini saya rasa terpanggil untuk berbicara. Pertama saya memohon maaf kepada pihak yang berkenaan. Mungkin ada dari kalangan pembaca akan berasa kurang selesa dan marah dengan penulisan saya kali ini. Penulisan saya kali ini adalah berdasarkan kajian dan hasil pandangan beberapa tokoh yang berdasarkan perspektif Islam dan juga logik akal.

Semenjak 12 September 2011 saya telah memulakan sesi pembelajaran pada peringkat sarjana muda. Dengan semangat baru untuk menimba ilmu, hati saya mula tertarik dengan subjek Biologi Populasi. Subjek ini banyak berkisar mengenai teori-teori sains yang berhubung rapat dengan proses kemandirian dalam setiap organisma-organisma hidup. Semakin lama belajar saya semakin keliru. Adakah dalam sistem pembelajaran di negara kita, secara tidak sengaja masih terselit dakyah-dakyah Charles Darwin? Ketika zaman sekolah dahulu kita hanya tahu tentang teori evolusi secara kasar. Sebenarnya teori evolusi  amat mendalam dan terdapat banyak pecahannya. Bagi tajuk penulisan kali ini saya memuatkan beberapa pecahan dalam teori evolusi yang secara tidak sedar dimuatkan dalam silibus pembelajaran hari ini.


1.Teori evolusi Charles Darwin:

 “kesemua makhluk hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama (common ancestor). Keturunan yang awal ini kemudiannya berubah dari satu tahap ke tahap yang lain demi menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan - perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk yang kompleks yang bernama manusia. “

                Pertikaiannya, Sekiranya benar kata Darwin, Di mana makhluk di peringkat pertengahan evolusi? Kalau benar kata Darwin,  kita pasti bertemu dengan banyak makhluk yang berbentuk separuh binatang separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh binatang darat serta separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut kewujudan makhluk - makhluk ini sebagai bukti berkenaan kebenarannya. Namun hingga ke hari ini makhluk yang didakwa olehDarwin itu tidak pernah ditemui sehingga ke suatu masa Darwin sendiri meragui teorinya.

Secara dasarnya teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi ini adalah natural selection atau 'kuasa semula jadi'. Justeru pengasas teori komunisme, Karl Marx mengagumi Charles Darwin sehinggakan di dalam bukunya Das Kapital beliau menganggap dirinya pengikut setia Charles Darwin.

2. Founder Effect:

 Apabila sesuatu populasi berpecah daripada populasi yang asal populasi-populasi yang berpecah itu akan mula berkembang di tempat-tempat yang berbeza. Apabila populasi-populasi ini terasing maka kemungkinan akan berlaku perubahan spesis. “

Teori ini juga  amat kelakar. Ketika zaman Nabi Nuh a.s. selepas bahtera belabuh manusia sudah mula berpecah ke tempat-tempat tertentu. Persoalannya adakah pada hari ini kita menemui spesis baru yang berkembang dan berevolusi daripada manusia?

3. Natural Selection

 “Makhluk hidup yang tidak mampu beradaptasi dalam lingkungannya bagi tujuan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran lama-kelamaan akan hancur. Maka yang tertinggal hanyalah spesis yang mampu beradaptasi dengan keadaan alam sekeliling. Teori ini juga menekankan  makhluk-makhluk yang hidup akan saling bersaing untuk mempertahankan hidupnya.”

Perhatikan alam kita. Alam kita makin berubah, makin canggih, makin maju. Apa yang penting alam hari ini makin tercemar. Ada kita lihat manusia beradaptasi dengan situasi ini? Pembalakan berleluasa, hutan banyak yang musnah. Ada kita lihat haiwan-haiwan mula beradaptasi untuk hidup di bandar?

4. Mutation:

Mutasi dalah proses perubahan yang berlaku ke atas sesuatu sel disebabkan perubahan yang berlaku ke atas sistem genetiknya. Justeru, andai kata teori ini digunapakai, evolusi atau perubahan seekor ikan di zaman dahulu kepada manusia bermula dengan proses mutasi yang berlaku ke atas gen ikan berkurun - kurun lamanya sehingga akhirnya ia bertukar menjadi gen manusia yang melahirkan manusia.”

Adakah pandangan ini dianggap logik? Pada hari ini pakar-pakar sains mula mempertikaikan pandangan ini, sebagai contoh Dr. Lee Spetner. Beliau yang mengajar di Universiti Johns Hopkins dan Institut Weizman, mengkaji proses mutasi di peringkat molekul selama bertahun-tahun lamanya. Di dalam buku beliau yang bertajuk Not by Chance: Shattering the Modern Theory of Evolution (Judaica Press, ISBN: 1880582244, 1998), beliau menegaskan"

"Proses mutasi mengurang dan bukan menambah maklumat genetik."


Dalam erti kata yang lain ia bermaksud mutasi menyebabkan kecacatan dan bukannya kemantapan. Justeru, ikan tak mungkin dapat bertukar menjadi makhluk yang lebih mantap bernam manusia. Justeru, teori evolusi adalah satu teori dangkal yang tidak dapat diterima oleh sains.

Teori Darwin membuang kuasa Tuhan dan meggantikannya dengan 'Kuasa Kebetulan' atau 'Kuasa Semula Jadi'. Sekiranya ini adalah kepercayaan Darwin, justeru timbul pelbagai persoalan besar yang sukar dijawab semata-mata dengan menggunakan teori ini.

1.       Bagaimana sel yang pertama dalam dunia ini wujud?
2.        Bagaimana sel ini mampu berkembang dengan sendirinya menjadi makhluk yang pertama di dunia ini?
3.       Bagaimana is menghasilkan protein protein dengan cara yang begitu teratur hingga mampu melahirkan makhluk yang kompleks?

Menurut Sir Francis Crick, seorang saintis yang pernah dianugerahkan hadiah Nobel hasil penemuan struktur DNA, untuk kesemua proses ini berlaku secara kebetulan ia adalah sesuatu yang mustahil. Dalam bukunya yang bertajuk Life Itself: Its origin and beliau memberikan satu contoh yang berkaitan dengan kejadian protein. Untuk asid-asid amino bercantum untk mengikut urutan yang betul demi menghasilkan hanya satu protein, terdapat 10 kuasa 260 kemungkinan (iaitu 1, diikuti dengan 260 angka 0. Satu angka yang sangat besar) yang boleh berlaku. Daripada kemungkinan yang begitu banyak ini bagaimana asid-asid amino menentukan pilihannya dengan tepat sehingga akhirnya dapat melahirkan bukan hanya satu protein malah pelbagai jenis protein yang tahu pula cara berinteraksi dengan tepat dan memilih suasana dengan tepat bagi melahirkan satu jenis hidupan? Justeru bagi Sir Francis Crick, teori Darwin dalah satu teori yang tidak berasas di sudut sains.

Pakar Biokimia dari Universiti Lehigh, iaitu Dr. Michael Behe. Di dalam buku yang bertajuk Darwin's Black Box: The Biochemical Challenge to Evolution, beliau menyatakan sebahagian sistem biokimia adalah begitu kompleks kejadiannya sehinggakan tidak memungkinkan ia terjadi secara bertahap-tahap mengikut proses evolusi. Beliau menamakan fenomena yang kompleks ini sebagai Irreducible Complexity. Sebagai contoh, dalam proses pembekuan darah semasa berlaku pendarahan, protein dan enzim diperlukan serentak. Mengikut teori evolusi, kedua - duanya tidak dapat dihasilkan serentak kerana mengikut urutannya, protein perlu dihasilkan terlebih dahulu sebelum ia digunakan bagi menghasilkan enzim. Dalam keadaan enzim balum dapat dihasilkan,

1.       Bagaimana pendarahan dapat dihentikan?
2.       Apabila pendarahan tidak dapat dihentikan bagaimana hidupan yang berdarah dapat hidup?
3.       Apabila hidupan ini tidak dapat hidup bagaimana proses evolusi dapat bertahan?

Oleh itu, pada hari ini semakin ramai saintis yang mempertikaikan teori evolusi Darwin. Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang kesemua teori yang tidak saintifik apatah lagi yang jelas mengingkari kewujudan kuasa Tuhan. Berhubung dengan asal - usul manusia, umat Islam sepatutnya tidak melupakan kata nabi yang bermaksud:

"Manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah."
(Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)

Secara asasnya 99% umat Islam hari ini menolak teori evolusi Charles Darwin ini. Namun tanpa kita sedar sebenarnya teori ini masih terselit dalam sistem pembelajaran kita. Berbekalkan akal dan wahyu dari Allah, kita perlu sentiasa berhati-hati dan perlu menangkis dakyah-dakyah mereka yang berkenaan.  Bukan niat saya untuk menyalahkan sesiapa. Tetapi niat saya adalah supaya kita berhati-hati. Sebarang pandangan dan kritikan bagi tujuan membetulkan boleh dimuatkan dalam ruangan komen. Ini bagi memantapkan lagi pengetahuan dan keimanan kita.

SAYA TIDAK SEMPURNA ! ! !


No comments:

Post a Comment